Skip to main content

Habuk Halus (PM10 & PM2.5) dan kesannya kepada kesihatan

 



Habuk Halus (PM10 & PM2.5)

Habuk Halus (PM10 & PM2.5) adalah istilah yang digunakan bagi partikel terampai berukuran kurang daripada diameter 10 dan 2.5 mikron. Partikel boleh berbentuk pepejal atau cecair dan ia termasuk aerosol, debu, asap kenderaan bermotor, penjanaan kuasa dan haba, proses perindustrian dan aktiviti pembakaran terbuka yang akan membawa kepada pencemaran udara serta mengancam kesihatan manusia dan tumbuhan.

 

Trend purata bulanan kepekatan PM10 dalam udara sepanjang pelaksanaan PKP yang berkuatkuasa 18 Mac 2020 hingga 28 April 2020, PKPB (4 Mei 2020 - 9 Jun 2020) dan PKPP (10 Jun 2020 - 31 Disember 2020) menunjukkan PM10 mencatatkan paras terendah semasa PKP dengan bacaan 17.11 hingga 22.81 µg/m3 berbanding 2019.                


Manakala trend purata bulanan kepekatan PM2.5 dalam udara pada 2020 sepanjang pelaksanaan PKP juga menunjukkan PM2.5 mencatatkan paras terendah semasa PKP dengan bacaan 10.10 hingga 15.15 µg/m3 berbanding 2019. 

  

Kajian membuktikan zarah yang amat halus adalah ancaman berbahaya kepada kesihatan manusia. Antaranya zarah jerebu dalam julat saiz 2.5 mikron apabila disedut secara terus ke dalam badan manusia boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru. 

Pakar Runding Respiratori, Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif menjelaskan berbanding zarah jerebu bersaiz 10 mikron, zarah jerebu 2.5 mikron atau PM 2.5 adalah begitu kecil ia mampu meresap masuk ke dalam tisu paru-paru apabila memasuki badan manusia.

Saiz itu sangat penting sebab kalau zarah bersaiz 10 mikron atau PM10, ia lebih besar dan sekat sampai hidung sahaja. Kalau PM2.5 ia sangat halus dan apabila bernafas ia boleh sampai ke hujung paru-paru dipanggil 'alveoli'. Jadi kesan kepada paru-paru sangat bahaya kalau lagi halus zarah itu.

Golongan berisiko yang terdedah kepada penyakit akibat jerebu dan zarah halus termasuk warga tua, kanak-kanak serta individu yang mempunyai penyakit asma dan jantung. Simptomnya termasuk batuk, sakit tekak dan sesak nafas selain saluran pernafasan menjadi semakin sempit.

Pertamanya, kita akan rasa kerongkong gatal atau batuk. Kedua, sebab zarah begitu halus ia boleh jadi halangan untuk badan kita melawan kuman, jadi senang untuk kuman masuk ke dalam paru-paru dan akibatkan jangkitan.

Bagi mereka yang menghidap asma atau penyakit paru-paru kronik, zarah-zarah ini akan menyekat saluran pernafasan mereka kerana saluran pernafasan mereka sudah sempit jadi kalau sekat lagi ia akan menyukarkan pernafasan.

 

Sumber: 

1) Kompendium Perangkaan Alam Sekitar (2021), Jabatan Perangkaan Malaysia

2)Bahaya jerebu halus dalam paru-paru, 6 Oktober 2015, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bahaya-jerebu-halus-dalam-paruparu-75555

  

Comments

Popular Posts