KERATAN AKHBAR BERKAITAN ALAM SEKITAR 28 JULAI 2021 (RABU)
1.
Tarah hutan simpan untuk tanam getah
26 Julai 2021
Alor Setar:
Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki yang dipercayai
mengambil upah meratakan Hutan Simpan Kekal Bukit Payung, di Kubang Pasu,
secara haram untuk menanam pokok getah, semalam.
Pengarahnya,
Muhamad Abdullah berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10.30 pagi, lelaki
tempatan berusia 42 tahun itu ditahan ketika sedang mengendali jentera untuk
meratakan tanah.
"Pasukan
bertugas melakukan serbuan selepas menerima aduan awam, pemeriksaan mendapati
kira-kira 1.2 hektar tanah sudah diratakan dipercayai sudah dilakukan sejak
empat hari lalu.
"Akibat
kegiatan meratakan tanah dan memusnahkan pokok-pokok hutan secara haram,
kerugian dianggarkan mencecah RM50,000," katanya dalam kenyataan di sini,
hari ini.
Muhamad
berkata, lelaki terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Kubang Pasu untuk siasatan lanjut oleh JPNK.
Katanya,
sebuah jentera jenis Excavotar Hitachi yang digunakan untuk kerja-kerja merata
dan membersihkan tanah turut disita untuk membantu siasatan.
"Kes
ini akan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu di bawah Seksyen
81(1)(b) kerana menebang, memotong, mengelang, menanda, menutuh atau menoreh
mana-mana pokok atau merosakkan dengan api.
"Jika
didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara
tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Selain itu,
Muhamad berkata, kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) kerana
menceroboh hutan simpanan kekal dan Seksyen 47(1) kerana memasuki hutan tertutup
tanpa kebenaran.
Katanya,
dua seksyen berkenaan sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan denda
masing-masing tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau
kedua-duanya sekali.
"JPNK
amat komited dan memandang serius aktiviti pencerobohan dan penerokaan Hutan
Simpanan Kekal dan akan melaksanakan pendakwaan terhadap individu-individu yang
melakukan kesalahan.
"Bagi
memastikan salah laku berhubung perhutanan dapat dibendung, jabatan amat
mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak atau orang awam bagi menyalurkan
maklumat berkaitan sebarang aktiviti kesalahan hutan, penerokaan dan
pencerobohan Hutan Simpanan Kekal," tegas beliau.
2.
'Ribut paling buruk'
27 Julai 2021
KUANTAN-
Mangsa ribut dari Felda Sungai Panching Utara di sini menyifatkan bencana alam
yang berlaku pada petang Isnin adalah yang terburuk sejak tanah rancangan itu
dibuka sekitar tahun 1971.
Dalam kejadian
kira-kira jam 6.30 petang itu, sebanyak 24 rumah terjejas termasuk beberapa
rumah rosak teruk selepas bahagian bumbung tercabut diterbangkan ribut.
Beberapa
penduduk mendakwa turut mengalami kerugian apabila ada pokok buah-buahan mereka
tumbang dalam kejadian itu.
Bagaimanapun
tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Salah
seorang penduduk, Mohd Ridzuan Abd Rahman, 44, berkata, rumahnya antara paling
terjejas teruk apabila hampir keseluruhan bahagian bumbung tercabut
diterbangkan angin.
Menurutnya,
ketika kejadian hanya isterinya berada di rumah manakala dia masih di tempat
kerja.
"Saya
dihubungi isteri memaklumkan tentang kejadian lalu bergegas pulang.
"Sebaik
tiba di rumah saya hampir terduduk apabila melihat keadaan bumbung rumah yang
sudah tercabut.
"Mujurlah
isteri selamat apabila dia sempat berlari menyelamatkan diri ke rumah jiran
berhampiran," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas menerima
kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya pada
Selasa.
Mohd
Ridzuan berkata, buat sementara waktu dia dan keluarga terpaksa menumpang di
rumah abangnya yang juga terletak di kawasan tersebut.
"Saya
agak buntu untuk mencari wang bagi membaiki rumah ini dalam masa terdekat
kerana kosnya sudah tentu agak besar jika melihat kepada kerosakan yang
dialami.
"Harapnya
ada pihak akan membantu meringankan beban kami untuk membaiki rumah ini dalam
masa terdekat," katanya.
Dia yang
lahir di rumah itu mengakui kejadian ribut itu paling buruk sejak ibubapanya
menetap di situ sejak kira-kira lima dekad lalu.
Bagi Mazlan
Abdullah, 56, dia tidak menyangka hujan tidak terlalu lebat yang turun pada
awalnya akan membawa kejadian ribut.
Menurutnya,
kejadian berlaku amat pantas dan secara tiba-tiba suasana dalam rumahnya
menjadi cerah selepas sebahagian bumbung ruang tamu tercabut.
"Ketika
kejadian saya berada di dalam bilik dan tiba-tiba terdengar bunyi seakan kayu
patah sebelum menyedari atap rumah sudah tercabut.
"Mujurlah
keadaan hujan tidak terlalu lebat jadi barang-barang dalam rumah sempat
dialihkan ke ruang yang lebih selamat," katanya.
Menurutnya,
sepanjang menetap di situ, itulah kali pertama dia mengalami kejadian seumpama
itu yang memberi kesan agak mendalam dalam hidupnya.
Dia juga
berharap ada pihak yang tampil untuk membantu membaiki kerosakan rumahnya itu.
"Jika
tiada bantuan pun, saya tetap kena baiki rumah ini. Alhamdulillah, adik-beradik
lain sudah menyatakan persetujuan untuk sama-sama membaikinya," katanya.
Kejadian
menimpa mangsa mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Mohd Tarmizi Yahaya
yang turun padang menghulurkan bantuan.
Menurutnya,
selepas menerima maklumat berhubung kejadian, beliau telah turun bersama
beberapa agensi lain meninjau kerosakan yang berlaku selain menghulurkan
bantuan awal kepada mangsa terlibat.
"Malam
tadi (Isnin) saya telah datang meninjau keadaan dan berdasarkan maklumat awal
ketika itu sekitar 15 rumah yang terjejas.
"Bagaimanapun
hari ini, bilangan rumah yang terjejas bertambah kepada 24 buah dan mangsa yang
terlibat dibantu dengan sumbangan wang tunai bagi meringankan beban
mereka," katanya.
Beliau
difahamkan beberapa agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),
Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut menghulurkan bantuan selain dari pihak
kerajaan negeri dan Felda sendiri.
https://www.sinarharian.com.my/article/152213/EDISI/Ribut-paling-buruk
3.
Kes denggi di Kelantan turun ketara tahun ini
27 Julai 2021
KOTA BHARU
- Kes bawaan wabak denggi di negeri ini mencatat penurunan ketara apabila
sebanyak 129 kes dilaporkan sehingga Julai tahun ini berbanding 2,448 kes
tempoh sama pada tahun lalu.
Pengarah
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, penurunan
berkenaan melibatkan sebanyak 2,319 kes iaitu sebanyak 94.7 peratus.
Selain itu,
katanya, tiada kes kematian denggi dicatatkan pada tahun ini berbanding lima
kes kematian denggi bagi tempoh sama pada tahun lalu.
“Statistik
denggi mingguan Kelantan pada minggu epid 29 iaitu 18 hingga 24 Julai
mencatatkan empat kes iaitu peningkatan satu kes berbanding tiga kes pada
minggu sebelumnya.
"Pada
masa ini tiada wabak denggi yang aktif di seluruh negeri Kelantan,” katanya
kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Beliau
berkata, Jabatan Kesihatan Kelantan meminta seluruh masyarakat agar membuat
pemeriksaan sendiri persekitaran rumah kediaman atau premis masing-masing
dengan memastikan tiada tempat pembiakan aedes di dalam dan luar rumah.
Tambah
beliau, hasil pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 111,269 premis dan rumah
kediaman pada tahun ini, sebanyak 2,532 premis mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.
Menurutnya,
pihaknya juga telah mengeluarkan sebanyak 325 kompaun yang dicadangkan dengan
nilai RM162,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP)
1975.
"Jika
rumah kediaman seseorang itu berada di kawasan wabak denggi dan hasil
pemeriksaan menjumpai pembiakan aedes, maka kompaun maksimum sebanyak RM500
akan dikeluarkan.
“Sebanyak
64 notis Seksyen 8 telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan
tempat berpotensi menjadi pembiakan aedes," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/152160/EDISI/Kes-denggi-di-Kelantan-turun-ketara-tahun-ini
4.
Perhilitan selamatkan tapir betina seberat 300
kilogram
27 Julai 2021
JELEBU:
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan
berjaya menyelamatkan seekor tapir Malaya betina seberat 300 kilogram selepas
haiwan berkenaan masuk ke dalam perangkap di Felda Pasoh 2, di sini, pada 18
Julai lepas.
Pengarahnya,
Wan Mat Wan Harun berkata, perangkap berkenaan telah dipasang sehari sebelum
itu setelah pihaknya mendapat aduan daripada penduduk mengenai kelibat tapir di
kawasan berkenaan.
Menurutnya,
haiwan berkenaan masuk ke dalam perangkap pada pukul 8 pagi dan sebaik mendapat
maklumat seramai 10 anggota Jabatan Perhilitan telah ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan
siasatan, kemungkinan tapir berkenaan datang berdekatan dengan rumah kakitangan
di Felda Pasoh 2 adalah disebabkan bau buah bacang yang terdapat di lokasi
berkenaan.
“Kawasan
ini berhampiran dengan hutan belukar serta ladang kelapa sawit dan tapi yang
masuk ke dalam perangkap berkenaan juga berada dalam keadaan sihat dan dirawat
oleh pegawai veterinar Jabatan Perhilitan,” katanya hari ini.
Wan Mat
berkata, tapir berkenaan kemudiannya dilepaskan ke kawasan Hutan Simpan Kenaboi
di sini pada hari yang sama bagi memastikan spesiesnya tidak terancam.
Menurutnya,
untuk rekod, pada tahun ini, sebanyak empat tapir Malasa atau nama saintifiknya
Tapirus Indicus telah diselamatkan di negeri ini. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/perhilitan-selamatkan-tapir-betina-seberat-300-kilogram/
5.
26 tan sisa sampah ribut di Tanjung Sedili
dibersihkan
27 Julai 2021
KOTA
TINGGI: Sebanyak 26 tan sisa sampah ribut di Tanjung Sedili sudah dibersihkan
dalam misi tanggungjawab sosial korporat (CSR) SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM
Environment) susulan bencana itu baru-baru ini.
Pengurus
Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, misi CSR tersebut
melibatkan kerja-kerja pembersihan pasca kejadian ribut membabitkan seramai 11
orang anggota kerja SWM Environment.
Katanya,
kesemua mereka melaksanakan kerja pembersihan saliran parit tersumbat akibat
pokok tumbang, sisa pokok tumbang dan atap zink rosak.
“SWM
Environment telah melunaskan misi CSR melalui operasi bantuan kejadian ribut
membantu penduduk di kawasan Tanjung Sedili, misi itu melibatkan kerja-kerja
pembersihan pasca kejadian ribut yang telah membersihkan sebanyak 26 tan sisa
sampah.
“Kami
sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan melalui operasi pembersihan pasca
bencana alam, bekerjasama dengan agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa
tempatan (PBT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam
(SWCorp),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah
Mohd. Norlisam, antara aset digerakkan dalam operasi itu adalah sebanyak lapan
buah kenderaan seperti jentolak, lori open tipper, jentera ultra-whack, jentera
penyembur, lori Roll-On, Roll-Off (RORO) berkapasiti muatan lima dan sebelas
tan bersama sebuah lori tangki air serta sebuah pacuan empat roda.
Jelasnya,
berdasarkan pemeriksaan awal yang dilaksanakan, tiada sebarang kerosakan
terhadap aset tong sampah beroda (TSB) milik penduduk di kawasan kejadian
ribut.
“Tetapi,
penduduk yang terlibat dinasihatkan untuk memeriksa keadaan TSB mereka sekali
lagi dan mengemukakan permohonan penggantian atau pembaikan sekiranya terdapat
kerosakan melalui pautan http://portal.swmsb.com:81/ atau melalui Talian
Indahkan Malaysia 1-800-88-7472.
“Perkhidmatan
SWM Environment di kawasan terjejas beroperasi seperti biasa bagi memenuhi
keperluan penduduk melaksanakan pembersihan di kediaman masing-masing. Malah,
kita menasihatkan mereka untuk mengasingkan sisa bencana dan memanfaatkan
perkhidmatan Kutipan +1,” katanya.
Terdahulu
dalam kejadian bermula pukul 3 petang Jumaat lalu, hujan lebat dan angin
kencang kira-kira lebih dua jam telah merosakkan 291 rumah dari tujuh kampung
di Tanjung Sedili.
Kampung
yang terlibat antaranya Kampung Sri Gading; Kampung Teluk Jeri; Kampung Teluk
Jeri Luar; Kampung Teluk Jeri Dalam; Kampung Tanah Putih; Taman Sedili dan
Kampung Sedili Besar.
Ribut
berkenaan turut mengakibatkan lebih 20 pokok tumbang sehingga menutupi laluan
jalan raya namun tiada kecederaan melibatkan mangsa. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/26-tan-sisa-sampah-ribut-di-tanjung-sedili-dibersihkan/
Comments
Post a Comment