KERATAN AKHBAR BERKAITAN ALAM SEKITAR 30 JULAI 2021 (JUMAAT)

 1.

CAP gesa haramkan racun tikus bentuk pelet

28 Julai 2021

 

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan penggunaan racun tikus dalam bentuk tablet (pelet) di pasaran negara ini.

Gesaan itu berikutan terdapat beberapa kes haiwan peliharaan penduduk mati selepas termakan tablet beracun berkenaan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, pemilik haiwan itu mendakwa melihat ada pihak melempar tablet beracun itu ke rumput di sepanjang jalan yang dikatakan bagi menghapuskan tikus dan gagak.

Menurutnya, jika ia dilemparkan ke tanah begitu pihaknya bimbang binatang atau kanak-kanak mungkin mengutip dan memakannya.

"Malangnya anjing milik penduduk mungkin turut termakan tablet yang bertaburan itu dan mati beberapa hari kemudian.

"Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) juga sudah mengharamkan racun tikus dalam bentuk pelet," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohideen berkata, menurut EPA kanak-kanak khususnya berisiko terdedah kepada racun tikus kerana produk itu biasanya diletak di atas lantai yang mana kanak-kanak boleh mengutip dan memakannya.

"Tablet berkenaan berbahaya kerana bran dan molases yang kadang kala dicampurkan kepadanya membuatkan ia kelihatan sedap kepada kanak-kanak dan haiwan.

"Malah ada ketikanya hidupan liar akan mendapatkan tikus yang bergerak perlahan akibat termakan racun yang akhirnya ia sendiri turut diracuni," katanya.

Menurutnya, kehadiran tikus di kediaman bukanlah sesuatu yang diinginkan namun begitu kita tidak perlu menggunakan kaedah kejam semata-mata bagi mengawal bilangan tikus.

"Pada umumnya bagi mengawal tikus, racun atau kaedah perangkap digunakan tetapi ia belum dapat mengatasi punca sebenar masalah berkenaan, iaitu tabiat buruk penduduk membuang sisa makanan dan sampah dengan sewenang-wenangnya.

"Daripada mencari kaedah membunuh tikus yang lebih kuat dan berpotensi berbahaya, satu-satunya jawapan sebenar kepada konflik kita dengan haiwan ini ialah mencari bukti dan kawasan pembiakan tikus atau keadaan yang menarik perhatiannya serta berusaha menangani punca masalah, bukannya dengan melempar tablet merata tempat sehingga membunuh haiwan lain," katanya lagi.

Menurut Mohideen lagi, CAP turut menggesa supaya diharamkan penggunaan bahan kimia toksik bagi membunuh makhluk perosak.

"Masyarakat juga perlu menjaga kebersihan rumah dan kawasan sekeliling, mengurangkan sisa makanan, mengkompos makanan, memastikan tong sampah mempunyai tudung yang ketat supaya tidak menarik perhatian tikus serta membuang tumbuhan yang tidak diingini bagi menangani masalah kehadiran tikus.

"Pekerja di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga perlu dididik mengenai kaedah penghapusan makhluk perosak dengan berkesan," katanya lagi.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/735750/cap-gesa-haramkan-racun-tikus-bentuk-pelet

 

2.

61 titik panas berisiko terbakar akibat cuaca panas dikenal pasti

29 Julai 2021

BATU KAWAN: Sebanyak 61 kawasan titik panas dikenal pasti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di negeri ini yang berisiko mengalami kebakaran akibat cuaca panas dan kering yang dialami ketika ini.

Lokasi itu membabitkan sebanyak 15 tempat di Seberang Perai Utara; 14 masing-masing di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah (14); 10 tempat di daerah Timur Laut dan Seberang Perai Selatan (7).

Bagaimanapun Pengarah JBPM negeri, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya telah mempersiapkan kira-kira 850 keanggotaan membabitkan 20 balai bomba di seluruh negeri bagi berdepan peningkatan kes kebakaran.

“Kita mempunyai aset logistik iaitu 41 jentera tender air dan jentera tangki air bagi berdepan sebarang kemungkinan.

“Cabaran kami adalah bagi lokasi-lokasi tempat pembakaran haram seperti tempat longgokan sampah yang tidak dapat dikenal pasti terlebih dahulu kedudukannya,” katanya kepada pemberita di hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang memaklumkan negeri ini merekodkan kes pembakaran terbuka tertinggi tahun lalu biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak Mac ekoran pandemik Covid-19.

Sepanjang tahun lalu, negeri ini merekodkan sebanyak 670 kes pembakaran terbuka berbanding hanya 478 kes pada 2019.

Kebanyakan pembakaran terbuka itu dikesan berlaku di kawasan tapak pelupusan sampah haram, pembakaran sisa pepejal di kawasan industri dan tapak pembinaan. – UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/61-titik-panas-berisiko-terbakar-akibat-cuaca-panas-dikenal-pasti/

Comments

Popular Posts