Indikator Pertanian Terpilih, Malaysia, 2022
Sektor pertanian beralih ke fasa pemulihan pada 2021
Penerbitan ini memaparkan statistik prestasi ekonomi, guna tenaga, pengeluaran domestik dan perdagangan luar negeri bagi sektor pertanian. Statistik ini memperincikan penemuan dari perspektif sektoral bagi tiga subsektor pertanian utama iaitu tanaman, ternakan dan perikanan serta perspektif sosial yang menyumbang kepada kedudukan ekonomi Malaysia pada tahun 2021.
Ekonomi Malaysia telah memperoleh semula momentum dengan mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) RM1,386.7 bilion pada 2021, meningkat 3.1 peratus berbanding RM1,345.1 bilion pada 2020. Pertumbuhan sektor pertanian menyusut 0.2 peratus pada 2021 berbanding negatif 2.4 peratus pada tahun sebelumnya. Penurunan ini disebabkan oleh subsektor komoditi terutamanya kelapa sawit yang mencatatkan pertumbuhan negatif 5.6 peratus (2020: -3.6%). Walaupun kadar pertumbuhan kelapa sawit menunjukkan penurunan, namun ia merupakan penyumbang utama kepada nilai ditambah sektor pertanian dengan RM34.8 bilion atau 35.2 peratus.
Secara keseluruhan, pada 2021 pengeluaran empat tanaman komoditi utama, iaitu buah tandan segar (kelapa sawit), getah asli, kenaf (batang kering) dan biji koko, menunjukkan trend menurun berbanding 2020. Walaupun pengeluaran buah tandan segar (kelapa sawit) merupakan yang tertinggi di kalangan komoditi pertanian, namun menurun sebanyak 5,575.6 ribu tan metrik iaitu 5.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Melihat kepada subsektor ternakan, pengeluaran telur ayam/ itik mencatatkan peningkatan iaitu 5.6 peratus pada 2021 kepada 839.7 ribu tan metrik berbanding 795.5 ribu tan metrik pada 2020. Sebaliknya, hasilan ternakan bagi daging lembu/ kerbau, daging kambing/ bebiri dan daging babi masing-masing menurun dua digit dengan 11.1, 10.6 dan 10.5 peratus.
Pendaratan ikan laut pada 2021 ialah 1,328.0 ribu tan metrik, turun sebanyak 4.0 peratus berbanding 1,383.3 ribu tan metrik pada 2020. Sementara itu, pengeluaran akuakultur air tawar dan air payau/ masin masing-masing meningkat sebanyak 9.0 dan 2.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bilangan penduduk bekerja pada 2021 berjumlah 15,064.2 ribu orang (2020: 14,956.7 ribu orang). Daripada jumlah tersebut, seramai 1,550.0 ribu orang (10.3%) terlibat dengan sektor pertanian. Bilangan ini menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya. Penduduk bekerja sektor pertanian masih didominasi oleh penduduk warganegara dengan 63.6 peratus manakala selebihnya bukan warganegara.
Berdasarkan Survei Gaji & Upah yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pada 2021 bilangan penerima gaji dan upah bagi pekerja mahir pertanian menurun kepada 76.7 ribu orang berbanding 142.1 ribu orang pada 2020. Penengah gaji & upah bulanan bagi pekerja mahir pertanian pada 2021 meningkat kepada RM1,695 berbanding 2020 (RM1,291). Purata gaji & upah bagi pekerja mahir pertanian, turut meningkat kepada RM1,853 pada 2021 berbanding RM1,547 tahun sebelumnya. Penengah gaji & upah bulanan yang diterima oleh pekerja lelaki meningkat kepada RM1,740 berbanding RM1,291 pada 2020 manakala perempuan menerima RM1,530. Purata gaji & upah bulanan pekerja lelaki dan perempuan menerima masing-masing RM1,868 dan RM1,732.
Sektor pertanian menyumbang kepada negara melalui eksport, terutamanya dengan produk yang dihasilkan daripada komoditi pertanian seperti minyak kelapa sawit. Jumlah eksport pertanian negara meningkat daripada RM118.7 bilion pada 2020 kepada RM154.5 bilion pada 2021. Sementara itu, jumlah import sektor pertanian turut menunjukkan peningkatan kepada RM120.5 bilion pada 2021 berbanding RM98.3 bilion pada 2020.
Comments
Post a Comment