Indikator Pertanian Terpilih (IPT), Malaysia, 2021
Indikator pertanian terpilih menyusut dengan ketara pada 2020
Penerbitan Indikator Pertanian Terpilih, Malaysia, 2021 memaparkan statistik prestasi ekonomi, guna tenaga, pengeluaran domestik dan perdagangan luar negeri bagi sektor pertanian. Statistik ini memperincikan penemuan dari perspektif sektoral bagi tiga subsektor pertanian utama iaitu tanaman, ternakan dan perikanan serta perspektif sosial yang menyumbang kepada kedudukan ekonomi Malaysia pada tahun 2020.
Prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada 2020 menyusut 5.6 peratus, dipengaruhi oleh kejatuhan semua sektor ekonomi berbanding pertumbuhan positif 4.4 peratus pada 2019. Sektor pertanian menyumbang kepada KDNK sebanyak 7.4 peratus pada 2020 dan pertumbuhan sektor ini menyusut 2.2 peratus daripada 2.0 peratus pada tahun sebelumnya. Penurunan ini disebabkan oleh subsektor komoditi terutamanya kelapa sawit yang mencatatkan pertumbuhan negatif 3.6 peratus (2019: 1.5%). Walaupun kadar pertumbuhan kelapa sawit menunjukkan penurunan, namun ia merupakan penyumbang utama kepada nilai ditambah sektor pertanian dengan RM36.9 bilion atau 37.1 peratus.
Di peringkat negara ASEAN, sumbangan sektor pertanian kepada KDNK adalah di antara 0.03 hingga 22.8 peratus. Myanmar dan Kemboja merekodkan sumbangan KDNK tertinggi iaitu 22.8 peratus. Ini diikuti oleh Lao PDR (16.2%) dan Viet Nam (14.9%). Sebaliknya, Singapura mencatatkan sumbangan KDNK terendah iaitu 0.03 peratus. Malaysia berada di kedudukan kelapan dari 10 negara ASEAN. Sementara itu, semua negara mencatatkan peningkatan sumbangan sektor pertanian kepada KDNK berbanding pada 2019 kecuali Singapura.
Secara keseluruhan, pada 2020 pengeluaran tanaman komoditi utama telah mengalami penurunan berbanding 2019. Pengeluaran buah tandan segar (kelapa sawit) menurun sebanyak 2,096.1 ribu tan metrik atau 2.1 peratus namun pengeluarannya merupakan yang tertinggi bagi komoditi pertanian negara. Ini diikuti getah asli dan lada masing-masing merekodkan penurunan sebanyak 125.1 ribu tan metrik dan 3.1 ribu tan metrik.
Pengeluaran sayur-sayuran di Malaysia pula menunjukkan peningkatan 0.9 peratus pada 2020 di mana Pahang kekal sebagai pengeluar tertinggi dengan sumbangan 35.1 peratus, diikuti oleh Johor (20.2%) dan Kelantan (12.5%). Manakala pengeluaran buah-buahan pula menurun 0.7 peratus pada tempoh sama. Johor merupakan negeri tertinggi pengeluaran buah-buahan di Malaysia dengan sumbangan 36.0 peratus, diikuti Pahang (13.0%) dan Sarawak (11.2%).
Melihat kepada subsektor ternakan, bilangan ternakan dilihat meningkat kecuali bagi kerbau, bebiri dan babi. Walaupun populasi ternakan menunjukkan peningkatan, pengeluaran hasilan menurun kecuali bagi daging ayam/ itik, telur ayam/ itik dan juga susu segar. Penurunan bagi sesetengah komoditi turut dikaitkan dengan kurangnya permintaan oleh restoran, kedai makan serta hotel yang tidak beroperasi atau mengehadkan operasi kesan kepada pandemik COVID-19.
Pendaratan ikan laut pada 2020 ialah 1,383.3 ribu tan metrik, turun 5.0 peratus berbanding 1,455.4 ribu tan metrik pada 2019. Penurunan pendaratan ikan laut ini berlaku akibat kekurangan operasi vesel laut dalam kesan sekatan kemasukan semula tenaga kerja asing. Pada masa sama, pengeluaran akuakultur air payau/ masin dan air tawar juga masing-masing menurun 1.4 dan 7.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada 2020 menurun sebanyak 0.3 mata peratus. Bilangan penduduk bekerja pada 2020 berjumlah 14,956.7 ribu orang (2019: 15,073.4 ribu orang). Daripada jumlah penduduk bekerja, seramai 1,566.0 ribu orang (10.5%) terlibat dengan sektor pertanian dengan 67.9 peratus adalah warganegara manakala selebihnya bukan warganegara.
Jumlah eksport pertanian negara meningkat daripada RM115.5 bilion pada 2019 kepada RM118.6 bilion pada 2020. Sementara itu, jumlah import sektor pertanian turut menunjukkan peningkatan kepada RM98.0 bilion pada 2020 berbanding RM93.5 bilion pada 2019.
Menyedari kepentingan kesan pandemik terhadap pengeluaran pertanian dan harga, jaminan keselamatan makanan telah menjadi semakin penting. Ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan untuk melihat kembali sektor pertanian sebagai sumber peluang pekerjaan berpotensi dan peningkatan pelaburan modal dalam memodenisasi sektor ini. Penekanan kepada jaminan kestabilan bekalan makanan adalah perlu terutama bagi item pertanian yang mempunyai kadar sara diri yang tidak mencukupi dan kebergantungan import yang masih tinggi. Di samping itu, penekanan juga perlu mengambil kira kebolehcapaian kepada makanan terutama kepada golongan berpendapatan rendah disebabkan faktor harga yang tidak menentu.
Comments
Post a Comment