KERATAN AKHBAR BERKAITAN ALAM SEKITAR 10 DISEMBER 2021

 


1.        Hujan lebat di Sabah dijangka berterusan

 

9 Disember 2021

 

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (waspada) bagi beberapa kawasan di Sabah.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata beberapa kawasan termasuk Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan serta seluruh kawasan Kudat, dijangka berdepan situasi hujan berterusan.

"Angin bertiup dari arah timur laut dijangka berpotensi membawa hujan berterusan dan angin kencang.

"Keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/897127/hujan-lebat-di-sabah-dijangka-berterusan

 

2.         Misteri air Sungai Kechau Tui bertukar hijau

 

9 Disember 2021

 

 

KUANTAN - Air Sungai Kechau Tui, Lipis yang bertukar warna hijau menjadi tanda tanya sehingga tular di laman sosial Facebook pada Khamis.

 

Gambar perubahan warna air itu dimuat naik seorang pengguna media sosial, Man Teybor menerusi kumpulan Facebook Laman Loghat Pahang (LPP) mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

 

Rata-rata netizen juga terkejut dan ingin mengetahui punca perubahan air sungai itu, malah tidak kurang menganggap kejadian itu penuh misteri.

 

Ada dalam kalangan mereka mengaitkan dengan kerja-kerja mencuci emas dan penggunaan bahan kimia jenis 'micreury' yang tinggi menyebabkan perubahan air Sungai Kechau Tui.

 

Mereka juga meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) segera menjalankan siasatan terhadap isu itu.

 

"Tolong ambil tahu...report (lapor) dan ambil tindakan" tulis seorang pengguna Facebook, Mohamed Johan dalam ruangan komen pada gambar tersebut.

 

Sementara itu, Pengarah JAS Pahang, Mohd Sani Mat Daud berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan pemantauan di kawasan terbabit telah dilakukan.

 

"Pada masa ini siasatan giat dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian," jelas beliau.

 

https://www.sinarharian.com.my/article/176986/BERITA/Semasa/Misteri-air-Sungai-Kechau-Tui-bertukar-hijau

 

 

 

3.     Kelantan peruntuk RM11.2 juta untuk Program Kelantanku Bersih 2022

 

9 Disember 2021

 

 

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntuk RM11.2 juta bagi Program Kelantanku Bersih 2022 untuk meningkatkan tahap kebersihan di seluruh negeri.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, ia melibatkan program kebersihan, membina dan menaik taraf kemudahan pusat rekreasi dan pelancongan serta kemudahan awam.

 

Beliau berkata, peruntukan itu juga akan membabitkan keperluan untuk menaik taraf kemudahan awam pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menaik taraf pusat pelupusan sampah.

 

“Ia merupakan satu inisiatif bersepadu antara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat dalam merealisasikan negeri Kelantan yang bersih dan rakyat yang cakna terhadap kebersihan.

 

“Oleh itu, kita berharap semua pihak sentiasa mengamalkan sikap kebersamaan dan bersedia untuk mengubah budaya hidup yang mementingkan kebersihan agar kebersihan menjadi satu budaya di negeri ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Kelantanku Bersih 2021 dan Pelancaran Zon Bersih, Indah dan Ceria PBT Negeri Kelantan, di sini pada Khamis oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

 

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub.

 

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, pada Istiadat Pembukaan Persidangan Keempat DUN Kelantan ke-14, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menitahkan agar aspek kebersihan diberi perhatian oleh setiap lapisan masyarakat.

 

“Bagi menjunjung titah baginda, saya juga berharap semoga PBT dapat melaksanakan program Kelantanku Bersih dengan lebih efektif melibatkan masyarakat dan menjadikan Zon Bersih, Indah dan Ceria sebagai fokus utama.

 

Sementara itu, Abdullah berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan yang bergejala dinasihatkan agar menjalani kuarantin kendiri bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

 

Beliau berkata, ia susulan ADUN Tendong, Mohd Rozi Mohamad dan Tanjong Mas Rohani Ibrahim disahkan positif Covid-19 pada persidangan DUN minggu lepas.

 

“Saya menasihatkan kesemua 41 ADUN untuk menjalani kuarantin kendiri sekiranya bergejala.

 

"Setakat ini hanya dua ADUN positif Covid-19, manakala ADUN Kemuning (Mohd Roseli Ismail) menjalani kuarantin berikutan menjadi kontak rapat selain Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) turut mengambil inisiatif menjalani kuarantin di rumah,” katanya. - Bernama

 

https://www.sinarharian.com.my/article/176969/EDISI/Kelantan-peruntuk-RM112-juta-untuk-Program-Kelantanku-Bersih-2022

 

 

 

4.         CAP kesal Sungai Muda dicemari sampah sarap

 

9 Disember 2021

 

 

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera membersihkan bahan buangan yang mencemarkan Sungai Muda di Permatang Bendahari, Seberang Perai Utara (SPU) di sini.

 

 

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati terdapat timbunan bahan buangan terutama bekas plastik terapung pada permukaan sungai menyebabkan persekitaran tempat itu kelihatan kotor.

 

"CAP kesal kerana Sungai Muda merupakan sumber utama bekalan air bagi kegunaan penduduk-penduduk di negeri Kedah dan Pulau Pinang.

 

"Jika keadaan ini berterusan, bukan saja menjejaskan kualiti air sungai tersebut tetapi juga menjadi tempat nyamuk membiak yang boleh mencetuskan wabak penyakit," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis.

 

Mohideen berkata, pihaknya amat bimbang jika sisa buangan tersebut mengandungi toksik yang sudah pasti memberi kesan lebih buruk terhadap alam sekitar, hidupan sungai dan laut serta kesihatan manusia.

 

Beliau berkata, CAP juga percaya sekiranya bahan buangan tersebut dibiarkan, ia akan mencemarkan pantai dan laut berhampiran, sekali gus mengganggu kegiatan nelayan serta menjejaskan mata pencarian mereka.

 

Beliau sehubungan itu berharap pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan dan memberi perhatian serius terhadap masalah berkenaan, di samping mengambil tindakan berkesan agar kejadian serupa tidak berulang.

 

"Pemantauan berterusan perlu dilakukan dan tindakan undang-undang hendaklah dilaksanakan dengan tegas tanpa memberi pertimbangan kepada mereka yang melanggar peraturan-peraturan termaktub di bawah akta sedia ada.

 

"CAP meminta supaya bahan pencemar ini dilupuskan di kawasan yang selamat daripada sebarang ancaman ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan," ujarnya.

 

Tambah beliau, pihak berkuasa juga perlu mendedahkan hasil siasatan dan tindakan yang diambil terhadap masalah berkenaan kepada umum.

 

https://www.sinarharian.com.my/article/176950/EDISI/CAP-kesal-Sungai-Muda-dicemari-sampah-sarap

 

 

 

5.         setuju luaskan kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini

 

9 Disember 2021

 

 

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang bersetuju untuk meluaskan kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini (TCRB) di Pekan daripada 6,922.96 hektar kepada 9,147,18 hektar bagi pemuliharaan kawasan berkenaan.

 

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, sebahagian kawasan baharu TCRB itu juga akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK), sekali gus dapat mengelak kegiatan penerokaan hutan di kawasan terbabit.

 

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang memulihkan kawasan TCRB dengan pelbagai tanaman tutup bumi termasuk pokok di kawasan berhampiran tasik terbabit.

 

"Kerja pemulihan tanah juga dijalankan bagi mengelakkan sebarang efluen masuk ke dalam tasik.

 

"Bagi tujuan itu (pemulihan Tasik Chini), kita telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Tindakan Pemulihan Tasik Chini bagi menyelaras semua tindakan pemulihan di kawasan," katanya pada Mesyuarat kedua Penggal keempat Dewan Negeri Pahang (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang dekat sini pada Khamis.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) mengenai usaha kerajaan negeri dalam pemuliharaan semula kawasan resort Tasik Chini sebagai kawasan pelancongan.

 

Sementara itu, Mohd Sharkar menjelaskan, beberapa projek pemuliharaan dijalankan bersama agensi kerajaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang serta Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) di kawasan sekitar TCRB.

 

Beliau berkata, projek itu membabitkan aktiviti penanaman semula hutan, pembinaan nurseri dan pelepasan ikan bagi penambahan sumber perikanan air tawar, pemulihan tebing Sungai Chini serta pemuliharaan teratai.

 

"Kita tidak akan membenarkan sebarang bentuk pembangunan selain bagi tujuan penyelidikan di Tasik Chini.

 

"Malah, kita akan mengekalkan kawasan itu sebagai Taman Hutan Negeri yang juga dikenali sebagai tapak Rizab Biosfera pertama Malaysia di bawah Program `Man and Biosphere' (MAB) Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya.

 

Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, pihaknya melalui Tourism Pahang akan terus mempergiatkan promosi bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Tasik Chini.

 

"Pemuliharaan semula kawasan Resort Tasik Chini sebagai kawasan pelancongan adalah satu usaha yang amat baik bagi menggalakkan kehadiran pelancong ke tasik berkenaan.

 

"Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sentiasa menyokong usaha usaha kerajaan negeri memulihara semula resort tersebut," kata beliau.

 

https://www.sinarharian.com.my/article/176941/EDISI/Pahang-setuju-luaskan-kawasan-Rizab-Biosfera-Tasik-Chini

 

Comments

Popular Posts