KERATAN AKHBAR BERKAITAN ALAM SEKITAR 1 OGOS 2021 (AHAD)

1. Cuaca panas hingga September, bomba pesan elak pembakaran terbuka

31 Julai 2021


SHAH ALAM, 31 JULAI: Orang awam diminta untuk segera melaporkan insiden kebakaran kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di samping tidak membuat pembakaran terbuka ekoran cuaca panas dan kering yang sedang melanda negara ketika ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, sebarang kejadian yang mencurigakan seperti asap dan api kecil perlu dilaporkan segera bagi mengelakkan ia menjadi lebih besar ataupun merebak.

“Terus maklum pada kita insya-Allah pihak kami akan respon secepat mungkin dan saya harap tiada pihak yang melakukan pembakaran terbuka, kerana takut tidak ada kawalan dan akan merebak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan, negara ketika ini mengalami Monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas dan kering hingga pertengahan September.

Pada masa yang sama Hafisham berkata, JBPM Selangor sentiasa melakukan rondaan wajib di kawasan yang dikenal pasti menjadi ‘titik panas’ kebakaran, terutamanya ketika cuaca panas dan kering antaranya di Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan; HSKL Utara dan kawasan Johan Setia, Klang.

Beliau berkata, pihaknya kini giat menjalankan pemadaman di kawasan dipercayai lokasi pertanian di sekitar Johan Setia sejak Rabu, dan ia kini seolah-olah menjadi ‘rutin’ tahunan untuk pihaknya melakukan pemadaman di lokasi itu.

“Sebenarnya sudah selesai padam kebakaran pada Rabu (28 Julai), tapi selepas itu ada kawasan baru yang terbakar. Dipercayai kebakaran berpunca daripada aktiviti pertanian, ditambah dengan cuaca panas kering sekarang ini menyebabkan bacaan Indeks Indeks Pencemaran Udara (IPU) naik mendadak,” katanya.

Media melaporkan pada Rabu lalu, IPU tidak sihat tersebut dicatatkan sejak 2 pagi hari berkenaan pada paras 152 sebelum melonjak kepada 191 setakat 1 tengah hari, hari yang sama.

Dalam pada itu, Hafisham berkata Selangor mencatatkan peningkatan sebanyak 555 kes kebakaran hutan sehingga bulan ini, berbanding 279 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Beliau berkata pada tahun ini, pihaknya telah menyelesaikan dua kes kebakaran berskala besar di Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan, iaitu pada 27 Februari hingga 8 Mac dan 27 hingga 29 Jun lalu membabitkan lebih 200 keanggotaan daripada pelbagai agensi.

Selain itu, katanya, sebanyak 1,240 kebakaran belukar atau lalang direkodkan untuk tempoh yang sama pada tahun ini berbanding hanya 791 kes tahun lalu.

https://selangorkini.my/2021/07/cuaca-panas-hingga-september-bomba-pesan-elak-pembakaran-terbuka/


2. Gagal seludup 60 tan buangan terjadual dari UAE

31 Julai 2021

KLANG – Cubaan membawa masuk dua kontena berisi buangan terjadual SW 110 dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) gagal selepas dikesan pihak berkuasa di Pelabuhan Barat di sini semalam.

Penahanan kedua-dua kontena itu dilakukan pukul 11 pagi susulan maklumat yang dikemukakan Jabatan Kastam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, hasil pemeriksaan dijalankan terhadap tiga buah kontena mendapati dua daripadanya mengandungi SW110.

Katanya, antara barangan tersebut adalah komputer, hard disk, kabel wayar yang diimport dari UAE dengan berat keseluruhan 60 metrik tan.

“Pengimport didapati tidak mempunyai kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk mengimport buangan tersebut.

“Manakala pemeriksaan ke atas sebuah lagi kontena mendapati barang dagangan yang diimport tidak tertakluk sebagai buangan terjadual di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Antara barangan yang diimport dari UAE dengan berat keseluruhan 60 metrik tan.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kontena itu diimport sebuah syarikat jenis perdagangan yang lazimnya akan diproses untuk mendapatkan logam-logam berharga seperti emas dan timah sedangkan aktiviti ini perlu mendapat kelulusan JAS.

Nor Aziah menambah, bagaimanapun destinasi akhir bagi buangan terjadual masih dalam siasatan pihaknya.

“Satu notis arahan pemulangan akan dikeluarkan kepada pengimport untuk memulangkan semula dua buah kontena tersebut ke negara asal di bawah prosedur Konvensyen Basel,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, JAS Selangor telah mengeluarkan notis arahan pemulangan 90 buah kontena mengandungi sisa buangan terjadual seberat 1,750 metrik tan dengan nilai anggaran RM6.31juta ke negera asal dari Januari hingga Julai ini.

“JAS Selangor terus komited untuk membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan dan mengelakkan negeri ini dijadikan tempat pelupusan buangan daripada negara asing,” katanya.

https://www.kosmo.com.my/2021/07/31/gagal-seludup-60-tan-buangan-terjadual-dari-uae/


3. Sungai Kim Kim tercemar lagi

31 Julai 2021


JOHOR BAHRU – Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang terkenal dengan insiden pencemaran sebelum ini sekali lagi menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk berhampiran apabila mendapati air berwarna hitam serta bau busuk dalam kejadian Rabu lalu.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan berkata, pasukan dari Unit Penguatkuasa Industri JAS telah bergegas ke lokasi kejadian di Sungai Kim Kim untuk menjalankan siasatan susulan aduan awam berkenaan pencemaran sungai pada pukul 10 malam.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati air sungai bewarna hitam dan terdapat bau busuk dikesan sepertimana aduan yang diterima.

Tambahnya, pasukan telah mendapatkan butiran maklumat kejadian dari penduduk sekitar untuk memperkemaskan siasatan.

Penguatkuasa JAS Johor melakukan pemeriksaan dan siasatan ke atas dakwaan Sungai Kim Kim yang tercemar, Rabu lalu.

“Keesokkan harinya, pasukan JAS dari cawangan Pasir Gudang telah menyusuri sekitar kawasan Sungai Kim Kim dan pemantauan melalui dron dijalankan bagi mengenal pasti punca yang boleh disyaki menyebabkan pencemaran tersebut.

“Pengukuran kualiti air sungai juga telah dijalankan oleh Unit Pengawasan JAS Johor di beberapa lokasi di sepanjang sungai tersebut.

“Siasatan awal mendapati pencemaran disyaki berpunca daripada pelepasan air sisa dari premis bukan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu berkata, berdasarkan siasatan lanjut, didapati premis tersebut sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan air sisa tanpa dirawat mengalir memasuki sungai berhampiran.

https://www.kosmo.com.my/2021/07/31/sungai-kim-kim-tercemar-lagi/


4. Sungai Kim Kim tercemar lagi

31 Julai 2021

PASIR GUDANG: Misteri pencemaran bau dialami penduduk Kampung Bukit Pulai, di sini, Rabu lalu terjawab apabila Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengesan kegiatan pelepasan air sisa daripada premis bukan industri di Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam kejadian jam 10 malam pada 28 Julai lalu, penduduk berhampiran kampung itu mendakwa, terdapat bau busuk dan dikhuatiri menambahkan lagi tekanan penduduk di kawasan terbabit ketika pandemik COVID-19.

JAS negeri dalam satu kenyataan, berkata susulan aduan diterima sepasukan anggota dari Unit Penguatkuasa Industri JAS bergegas ke lokasi kejadian di Sungai Kim Kim Dalam, Kampung Bukit Pulai untuk menjalankan siasatan.

Beliau berkata, siasatan mendapati air sungai berwarna hitam dan terdapat bau busuk dikesan seperti aduan diterima.

"Pihak kita kemudian mendapatkan maklumat kejadian daripada penduduk setempat untuk memperkemaskan siasatan dengan pada keesokan hari pasukan daripada Cawangan Pasir Gudang menyusuri sekitar kawasan Sungai Kim Kim, selain melakukan pemantauan menggunakan dron bagi mengenal pasti punca yang disyaki menyebabkan pencemaran itu.

"Pengukuran kualiti air sungai juga sudah dilakukan Unit Pengawasan JAS di beberapa lokasi sepanjang sungai berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, pencemaran disyaki berpunca daripada pelepasan air sisa premis bukan industri. Kita juga dapati premis itu sedang menjalankan kerja penyelenggaraan sehingga menyebabkan air sisa tanpa dirawat mengalir masuk ke sungai berhampiran," katanya.

Beliau berkata, persampelan dijalankan dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Premis itu diminta menjalankan langkah pembaikan segera dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah dimaklumkan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Selepas dua tahun mengalami pencemaran teruk akibat pelepasan sisa toksik sehingga menjadi tajuk utama media dan menarik perhatian seluruh negara, Sungai Kim Kim kini kembali tercemar.

Dalam insiden dikesan pada 7 Mac 2019, penduduk berhampiran sungai itu, termasuk puluhan pelajar sekolah diserang sesak nafas, loya, pening dan pitam.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/845580/sungai-kim-kim-tercemar-lagi


5. 600 renjer Orang Asli, bekas askar dilantik

31 Julai 2021


PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melantik 600 renjer dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan veteran tentera bagi melindungi hutan di Semenanjung Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kesemuanya itu dilantik di bawah program Rondaan dan Perlindungan Biodiversiti (BP3) yang dilancarkan sejak 16 Jun 2020.

“Inisiatif kementerian ini juga bagi meningkatkan bilangan yang masih lagi belum cukup selain untuk menggantikan renjer bersara, meninggal dunia atau berhenti tugas awal,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Renjer Sedunia 2021 anjuran Persekutuan Renjer Antarabangsa yang ditubuhkan pada 1992 lalu.

BP3 merupakan kesinambungan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) diperkenalkan pada 3 September 2019 bagi memelihara khazanah kepelbagaian hutan negara daripada pupus membabitkan kerjasama antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan, polis serta perbadanan taman negara di Johor dan Perak.

Pada peringkat awal, seramai 55 peserta Orang Asli dan 100 veteran askar dipilih sebagai kumpulan renjer perintis OBK kerana kepakaran dalam membanteras penjenayah di hutan.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar menambah, sepanjang tahun lepas,140 pesalah ditangkap dengan nilai sitaan sebanyak RM1.85 juta dan 672 jerat juga sudah dimusnahkan.

“Pihak kerajaan akan terus mengiktiraf peranan renjer yang selama ini berkorban dalam mempertahankan sumber kekayaan alam dan khazanah semula jadi negara kita,” jelas beliau.

Sumbangan besar mereka ujarnya, turut dibuktikan apabila OBK meraih Anugerah Penguatkuasaan Alam Sekitar Asia 2020 pada 17 Februari lalu oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu sekali gus memberikan suntikan semangat kepada semua renjer yang banyak berjasa memastikan hutan di Malaysia terus kekal terpelihara.

Pengambilan renjer menerusi program BP3 turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Mereka amat terlatih melakukan rondaan penguatkuasaan di kawasan taman negara, rizab hidupan liar dan sebagainya daripada dicerobohi pemburu haram dan pembalak tanpa lesen.

https://www.utusan.com.my/berita/2021/07/600-renjer-orang-asli-bekas-askar-dilantik/

Comments

Popular Posts