KERATAN AKHBAR BERKAITAN ALAM SEKITAR 5 OGOS 2021

 1.

Ada lagi ke tapir di KL?

4 Ogos 2021

 


PUTRAJAYA: Usaha murni pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyelamatkan tapir bukan baharu malahan sering dilaporkan media tempatan.

Namun, hantaran terkini agensi tersebut semalam yang memaklumkan ada seekor tapir berjaya diselamatkan di satu hutan di Kuala Lumpur menjadi tular dalam kalangan warganet.

Ramai pengguna media sosial tempatan kelihatan teruja kerana tidak menyangka ibu negara Malaysia itu masih ada lagi tapir yang tinggal sebagai habitat semula jadi mamalia berkenaan.

“Tapir wujud di KL?” soal netizen bernama Toman Pemburu menerusi ruangan komen akaun rasmi Perhilitan sambil seorang lagi warganet dalam nada sinis bertanya: “KL ada hutan ke?”

Hantaran jabatan itu bahkan menerima hampir 1,200 tanda suka selain puluhan ulasan dan dikongsi ramai pengguna media sosial yang mungkin ‘terkesima’ ada tapir di Kuala Lumpur.

Melalui hantaran tersebut, ia menyatakan bahawa seramai 15 kakitangan Perhilitan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terlibat dalam operasi translokasi atau pemindahan tapir itu.

Haiwan liar betina yang seberat 200 kilogram itu masuk ke dalam perangkap pada 18 Julai lalu dan berada dalam keadaan sihat selain aktif sepanjang operasi pemindahan dijalankan.

Bagaimanapun, Perhilitan tidak menyatakan lokasi sebenar haiwan itu ditemui, namun memberi jaminan pemantauan berterusan dilakukan sehingga dipindahkan ke habitat sesuai.

Agensi tersebut turut memuat naik tiga gambar eksklusif mengenai operasi berkenaan termasuk foto tapir itu kelihatan ‘tersenyum’ ketika memandang ke arah kamera dalam perangkap

Inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak Perhilitan itu menerima pujian dan ucapan tahniah ramai warganet tetapi tidak kurang juga bersimpati dengan nasib kehidupan perit sang tapir tersebut sambil menyifatkan situasi itu berlaku akibat habitat asalnya ‘diceroboh’ manusia untuk projek pembangunan yang sekali gus mengancam populasi hidupan liar mencari makanan.

https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/ada-lagi-ke-tapir-di-kl/

 

2.

Sembilan kedai musnah dalam dua kebakaran

4 Ogos 2021

 


IPOH - Sembilan deretan kedai musnah dalam dua kebakaran berasingan yang berlaku di Medan Selera Kampung Sentang, Batu Gajah dan Kampung Kuala Slim, Slim River di sini pada Rabu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 pagi dan 11.20 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat laporan kebakaran pada jam 7.36 pagi.

"Kebakaran melibatkan lima premis di medan selera bawah seliaan Majlis Daerah Batu Gajah telah musnah terbakar 50 peratus.

"Operasi pemadaman turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Pasir Puteh dengan aliran air sehingga api padam sepenuhnya," katanya yang memaklumkan operasi tamat pada jam 10.28 pagi.

Empat deretan rumah kedai musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Slim, Slim River. Foto: ihsan pembaca.

Menurutnya, kejadian kedua pula melibatkan kebakaran empat deretan rumah kedai dua tingkat iaitu kedai runcit dan kedai kek serta dua lagi premis tidak berpenghuni.

"Kedai kek dan kedai runcit terbabit musnah 80 peratus manakala, dua kedai lain musnah 95 peratus.

"Anggota membuat pemadaman dengan menggunakan aliran air dari sumber pili bomba dan pam angkut. Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 4.09 petang," katanya.

Beliau berkata, operasi pemadaman yang berlangsung lebih empat jam itu melibatkan 15 anggota bomba daripada BBP Bidor, Tanjung Malim dan Tapah.

"Operasi itu dibantu 20 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan, Batu 12, Gugusan Besout dan Slim Village.

"Seramai 19 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu sepanjang operasi tersebut," katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/153756/BERITA/Semasa/Sembilan-kedai-musnah-dalam-dua-kebakaran

 

3.

Masa depan pak belang di tangan kita

4 Ogos 2021

 


SAUDARA PENGARANG,

Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera tigris jacksoni merupakan spesies yang hanya wujud di hutan Semenanjung. Harimau berkenaan mempunyai berat purata 120 kilogram dan panjangnya pula boleh mencecah sehingga 2.4 meter.

Harimau Malaya mampu hidup di kebanyakan hutan di Malaysia tetapi berdasarkan kajian yang dilakukan, terdapat tiga habitat utama iaitu di Taman Negara Endau-Rompin; Taman Negara, Pahang dan Taman Negeri Royal Belum, Perak.

Pada 1950, kira-kira 3,000 ekor harimau wujud di negara kita. Namun, pada 2014, bilangannya dianggarkan sebanyak 250 hingga 340 ekor dan data terkini menunjukkan hanya tinggal kurang 200 ekor harimau liar di hutan Malaysia. Kini, Harimau Malaya diklasifikasikan di bawah kategori critically endangered dalam rekod Red List (The International Union for Conservation of Nature Red List of Threatened Species), Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), manakala dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Harimau Malaya dikategorikan di bawah haiwan ‘dilindungi sepenuhnya (Jadual 2).’ Pasti tertanya-tanya, bagaimana bilangan Harimau Malaya berkurangan dengan cepat sejak kebelakangan ini?

Secara umum, harimau adalah haiwan liar yang mempunyai permintaan  tinggi di pasaran gelap. Hal ini menyebabkan aktiviti buru secara haram berlaku. Ini kerana, anggota badan harimau sangat berharga. Sesetengah masyarakat berpendapat, daging, darah dan organ harimau baik untuk kesihatan walaupun tiada fakta yang mengesahkan kebenarannya manakala terdapat pula kumpulan peminat makanan eksotik.

Tulang harimau digunakan dalam pembuatan arak yang dikatakan mampu untuk menyembuhkan pelbagai penyakit seperti memberi kekuatan tenaga dalaman dan memanjangkan usia. Ada pula golongan yang mempercayai kuku dan giginya pembawa tuah dan dijadikan tangkal. Selain itu, kepala harimau dan kulitnya diperdagangkan untuk tujuan trofi dan barangan hiasan untuk jualan.

Penebangan hutan secara besar-besaran dan pembalakan haram juga merupakan faktor utama kurangnya populasi Harimau Malaya. Selain itu, pandangan segelintir masyarakat untuk membunuh haiwan yang mengancam nyawa tanpa melihat kesan kepupusan mengecewakan pihak yang mengetahui tentang kepentingan pak belang.

Sebagai masyarakat prihatin, kita perlu membantu kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan populasi Harimau Malaya yang kini semakin diancam kepupusan. Pelbagai maklumat mengenai pemuliharaan dan perlindungan boleh dikongsikan melalui media massa serta mewujudkan pelbagai program pendidikan dan kesedaran.

Antara lain, kita perlu menyokong tindakan proaktif yang dianjurkan Tabung Alam Sedunia (WWF), Perikatan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan Malaysia (MYCAT) dan melalui sokongan petisyen bagi menghentikan segera pemburuan haram demi menyelamatkan populasi harimau berkenaan.

Pusat konservasi dan zoo juga merupakan langkah yang diambil oleh Jabatan Hidupan Liar untuk projek Ex-Situ bagi program pemantauan pembiakan spesies terancam.

Oleh itu, orang ramai digalakkan menyalurkan sumbangan kewangan, makanan dan sukarelawan bagi membantu meringankan beban pusat jagaan hidupan liar terutama ketika musim penularan wabak Covid-19.

Akhir sekali, kita digalakkan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Harimau Sedunia iaitu pada 29 Julai setiap tahun.

Oleh itu, orang ramai harus berganding bahu dan tidak hanya bergantung kepada pihak berkuasa untuk memelihara khazanah negara ini.

AL HARITH RUSYAIDI AHMAD NAZLI AL JEFRY dan DR. HASMAHZAITI OMAR, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

https://www.utusan.com.my/rencana/2021/08/masa-depan-pak-belang-di-tangan-kita/

 

4.

Positive effects of green space, gardening

5 August 2021

 


LETTERS: Due to the Covid-19 pandemic, a nationwide Movement Control Order has been implemented since early last year to reduce the virus transmissions and infections.

However, the lockdown measures have been found to have an effect on the mental health of some members of society.

One may experience anxiety and anger apart from serious mental disorders such as depression and loneliness.

In order to deal with the challenges during this troubling period, we should be aware that nature can play an important role in mitigating the adverse mental health concerns.

In this respect, the World Health Organisation has stated that access to green space and connecting with nature are beneficial to mental wellbeing.

With Covid-19 restrictions having an impact on interaction and social recreation, spending time in the garden or park is among the easiest measures to keep a person mentally healthy. 

Even looking at nature is believed to help in improving mental and physical health by providing an environment for relaxation and stress relief.

Gardening is another avenue for people to interact with nature. From the environmental perspective, plants can serve as effective air cleaners by absorbing pollutants and releasing clean oxygen.

Whereas from the psychological perspective, growing plants can promote emotional wellness, enhance overall life satisfaction and even improve cognitive function.

There are therapeutic values and effects, psychologically and spiritually, in looking at trees or caring for plants.

Since the lockdown, gardening seems to have become a popular activity and taken on a whole new dimension in providing mental health benefits.

It is a common perception that the pandemic has contributed to heightened mental and physical health vulnerabilities of societies the world over.

In their effort to reduce the risks of Covid-19 infection, policymakers need to balance safety measures, as well as prevent the broader effects of prolonged lockdown on mental health.

As a short-term measure, we should encourage people to take up gardening and consider providing them access to green space. Permission to use public parks should be permitted with supervision or strict guidelines.

In conclusion, everybody should have an understanding about the role and benefits of green space and gardening on mental health. It should be viewed positively and supported in the long term.


Associate Professor Dr Maizatun Mustafa

Legal Practice Department, Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws, International Islamic University Malaysia

 

Dr Intan Aidura Alias

Department of Psychology, Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge and Human Sciences, International Islamic University Malaysia

 

https://www.nst.com.my/opinion/letters/2021/08/715057/positive-effects-green-space-gardening

 

Comments

Popular Posts