Amal 10 adab dalam pekerjaan, gaji berkat


ISLAM menggariskan adab yang perlu diamalkan oleh setiap orang beriman dalam mencari rezeki sama ada menjadi pekerja awam, swasta mahupun bekerja sendiri.


Ini untuk memastikan setiap pekerjaan membuahkan hasil dalam bentuk rezeki halal, malah lebih penting mendapat keredaan Allah SWT.
Malah keredaan Allah SWT inilah yang menjadikan rezeki yang diperoleh bukan sahaja halal, bahkan berkat dalam erti kata kebaikan yang melimpah-ruah.




Ia menjadi rahsia kepada orang beriman yang sebahagiannya memiliki pendapatan kecil atau sederhana tetapi bahagia dalam kehidupannya sama ada sebagai individu mahupun keluarga.
Berikut 10 adab yang boleh diamalkan untuk memastikan pekerjaan kita membuahkan hasil yang halal dan berkat.
1. Membaca doa sebelum keluar rumah. Antara yang boleh diamalkan ialah, ‘Dengan nama Allah, aku bertawakal dengan Allah dan tiada daya dan upaya kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Yang Maha Agung.
2. Niat keluar bekerja dengan ikhlas kepada Allah SWT untuk mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga serta menyumbang kepada masyarakat. Abu Mas’ud RA berkata Nabi SAW bersabda: Apabila seorang lelaki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah. (HR Bukhari)
3. Bekerja dengan bersungguh-sungguh dan berusaha gigih kerana mengikuti pesanan Nabawi seperti hadis yang diriwayatkan Saidatina Aishah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: Sesungguhnya Allah SWT mencintai seorang hamba yang apabila dia bekerja, dia menyempurnakan pekerjaannya. (HR Tabrani)
4. Menunaikan tugas dan tanggungjawab dalam pekerjaan dengan jujur serta amanah, sekali gus tidak menyalahgunakan jawatan, kuasa dan harta. Abdullah Mas’ud RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Wajib ke atasmu jujur kerana sesungguhnya kejujuran menunjukkan kepada kebaikan dan kebaikan menunjukkan ke syurga serta seseorang selalu jujur dan memelihara kejujuran hingga ditulis dan di sisi Allah sebagai orang jujur. (HR Tirmizi)
5. Tidak terbabit dengan pekerjaan haram atau syubhah, iaitu yang tidak jelas halal-haram. Nu’man Basyir RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Perkara halal itu jelas, perkara haram juga jelas dan antara keduanya adalah syuhbat; banyak orang tidak mengetahui apakah perkara halal atau haram dan sesiapa meninggalkannya bebaslah ia untuk agama dan kehormatannya serta selamat (daripada kecaman syaral). Dan barang siapa terjatuh di dalamnya, dikhuatiri terjatuh dalam keharaman. (HR Tirmizi)
6. Tidak melakukan perbuatan dosa dan mungkar kerana ia boleh menjadi sebab terhalangnya rezeki seperti hadis diriwayatkan Tsauban RA yang berkata Rasulullah SAW bersabda: Tiada sesuatu yang boleh menambah umur kecuali kebajikan dan tiada sesuatu boleh menolak takdir kecuali doa. Sesungguhnya seseorang akan tercegah daripada rezeki oleh sebab dosa yang dia lakukan. (HR Ibnu Majah)
7. Sentiasa bersyukur dengan apa yang diperoleh seperti yang diriwayatkan Abdullah ibnu ‘Amru ibnu ‘Ash RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sungguh amat beruntunglah orang Islam (berserah diri) dan berasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya. (HR Muslim)
8. Bersedekah kerana sebahagian apa yang diperolehnya juga menjadi hak orang lain dan meyakini hartanya tidak akan berkurang dengan ibadat itu. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. (HR Muslim)
9. Tidak menjadikan alasan sibuk mencari rezeki untuk tidak beribadat kerana Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda: Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, kerjakanlah ibadat semata-mata untuk-Ku, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan dan Aku tutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak mengerjakannya, maka Aku penuhi dadamu dengan kesibukan tetapi Aku tidak menutup kemiskinanmu.” (HR Ibnu Majah)
10. Bertawakal kepada Allah SWT selepas melaksanakan tugasan atau pekerjaan. Umar al-Khathab RA berkata Rasulullah SAW bersabda: Sungguh kalau kamu sekalian bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sungguh-sungguh, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia berangkat pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang. (HR Tirmizi)



Comments

Popular Posts