IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-276 : HADIS SEBAIK-BAIK UMATKU ADALAH YANG MEMBACA AL-QURAN
Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Apakah status hadis “sebaik-baik ibadat umatku adalah yang membaca al-Quran.”. Terima kasih.
Jawapan :
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah swt. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Hadis tersebut direkodkan oleh al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman daripada Nukman Bin Basyir. Nabi saw bersabda:
أَفْضَلُ عِبَادَةِ أُمَّتِي قِرَاءَةُ الْقُرْآنِ
Maksudnya :” Sebaik-baik ibadat umatku adalah membaca al-Quran.”
Riwayat al-Baihaqi (1865) di dalam Syu’ab al-Iman
Hadis ini juga diriwayatkan oleh beberapa sahabat yang lain seperti Ubadah Bin Somit dan Anas. Imam al-Ghazali menyebut dan meletakkan hadis ini di dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din. Bahkan Abu Nuaim al-Asbahani merekodkan hadis ini di dalam kitabnya Fadhail al-Quran.
Berkenaan soalan yang dikemukakan, al-Hafiz al-Iraqi ketika berkomentar berkenaan hadis ini, beliau menyatakan bahawa sanad hadis ini adalah lemah[1]. Ini kerana terdapat dua perawi yang dipertikai kredibilitinya. Dua perawi tersebut ialah:
- Abbas Bin Fadhl. Antara pakar hadis yang mengkritik beliau:
- Yahya Bin Ma’in menyatakan beliau bukan di kalangan perawi yang terpercaya (thiqah).( al-Mughni Fi al-Dhu’afa, 1/323)
- Imam al-Nasaie menyatakan beliau ditinggalkan hadisnya (matruk)
- Imam al-Bukhari menyebut hadis yang diriwayatkan olehnya adalah munkar. (Mizan al-‘Itidal , 4/263)
- Ibnu ‘Adi menyebut kebanyakan hadis yang diriwayatkannya di ingkari. (al-Kamil Fi al-Dhu’afa’ ,6/4)
- Abbad Bin Kathir. Beliau juga merupakan perawi yang lemah.
- Imam al-Bukhari menyatakan beliau dipertikaikan (al-Tarikh al-Kabir, 6/13)
- Yahya Bin Ma’in menyebut beliau adalah perawi yang lemah
- Syu’bah menyatakan : “berhati-hati dengan riwayatnya”. (al-Kamil Fi Dhu’afa’ al-Rijal , 5/331)
Namun kelemahan sanad hadis ini tidak menafikan bahawa matan hadis tersebut mempunyai makna yang sahih. Kelebihan membaca al-Quran dapat dilihat menerusi ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Antaranya Firman Allah swt :
إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَـٰبَ ٱللَّـهِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَـٰرَةً لَّن تَبُورَ
Maksudnya :” Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.”
(Surah al-Fatir : 29)
Bermakna orang yang membaca al-Quran tidak akan mengalami kerugian bahkan akan mendapat dan merasa keuntungan yang banyak.
Kelebihan membaca al-Quran juga dapat difahami melalui hadis Nabi saw yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud. Sabda Nabi saw :
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
Maksudnya :” Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakana yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
Riwayat al-Tirmizi (2910).Beliau mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis hasan
Wallahu’alam.
[1] Rujuk al-Mughni Fi Hamli al-Asfar Fi al-Asfar Fi Takhrij Ma Fi al-Ihya Min al-Akhbar (2/682)
Sumber: Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Comments
Post a Comment