Flora, fauna Tapak RAMSAR kini terancam

Sumber: BH Online
KUALA LUMPUR: Aktiviti pembangunan tanah sekitarnya serta pencerobohan haram, kini mengancam flora dan fauna kawasan Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa (RAMSAR) yang ada di Semenanjung.
Ada empat Tapak RAMSAR di Semenanjung iaitu Tasek Bera di Pahang, manakala selebihnya ialah Pulau Kukup; Sungai Pulai dan Tanjung Piai di Johor.
Tiga lagi Tapak RAMSAR negara ialah Kota Kinabalu Wetlands di Sabah dan Taman Negara Kuching Wetlands dan Hilir Kinabatangan-Segama Wetlands.
Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Ahmad Ismail, berkata ancaman yang dihadapi Tapak RAMSAR ketika ini, jika tidak dikawal atau ditangani, dikhuatiri menjejaskan sumber biologi tapak berkenaan seperti spesies ikan, tumbuhan hutan, hidupan liar, burung hijrah dan burung pemangsa.
Beliau berkata, jika perkara itu tidak diberi perhatian serius, maka ia pastinya menyebabkan kerugian khususnya membabitkan aspek khazanah negara, yang sepatutnya dipulihara atau ‘dibangunkan’ melalui kajian terperinci.
“Aktiviti pembangunan tidak dikawal seperti kewujudan industri, pelabuhan, stesen jana kuasa yang memberi kesan kepada kualiti air di sekitar kawasan Tapak RAMSAR contohnya di Tanjung Piai.
“Selain itu, lokasinya yang menjadi laluan kapal berikutan berhampiran dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas juga sedikit sebanyak boleh memberi kesan.
“Di Sungai Pulai, dikatakan ada perancangan untuk membangunkan padang golf dan hotel, yang kita khuatir boleh mengganggu sempadan tanah lembab itu.
Sumber: BH Online
“Selain itu, di Pulau Kukup pula ada projek akuakultur atau ternakan ikan yang kita khuatir mengganggu ekosistem semula jadi hidupan laut di situ,” katanya kepada BH, di sini.
Ahmad berkata, pembentukan kawasan penampan sekeliling tanah lembap yang dikategorikan sebagai zon pemeliharaan atau pemuliharaan adalah perlu bagi mengekalkan habitat sekitar zon berkenaan dan mengelakkan tanah lembap daripada dikeringkan termasuk untuk kegiatan pertanian yang memerlukan sistem perparitan.
Beliau berkata, Tasek Bera yang diiktiraf sebagai Tapak RAMSAR pertama negara ini 22 tahun lalu, menerima tekanan apabila pihaknya mendapat maklumat berlakunya kekurangan hasil hutan dan hidupan tasik.
Katanya, ancaman itu berikutan tiadanya ‘sekatan’ menyebabkan pengunjung bebas melakukan apa sahaja dalam kawasan Tapak RAMSAR berkenaan, termasuk mengambil hasil hutan atau menangkap ikan dalam jumlah berlebihan.
Berdasarkan tinjauan BH di Tasek Bera, kawasan Tapak RAMSAR itu adalah di bawah kendalian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perikanan.
Meskipun pintu masuknya dijaga dengan setiap pengunjung perlu memaklumkan kepada pengawal keselamatan di sana, namun sesiapa saja dipercayai boleh memasuki kawasan itu tanpa ‘banyak soal’.
Sumber: BH Online
Selepas memandu kira-kira dua kilometer (km) ke kawasan menuju tasik, ada penempatan ala chalet dipercayai di bawah pengurusan pihak berkuasa tempatan, namun disewakan kepada pihak luar sebagai pengendali.
Amat menghairankan apabila ada kain rentang dalam kawasan chalet di Tapak RAMSAR itu menyatakan ia adalah ‘kawasan persendirian’ hinggakan petugas RAMSAR dilarang memasukinya.
Perbuatan itu nyata mewujudkan konflik berhubung bidang kuasa PERHILITAN, yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas keseluruhan keluasan tapak RAMSAR di Tasek Bera.
Sebaik memasuki kawasan chalet itu, ada beberapa pengunjung dipercayai orang tempatan menangkap ikan. Ketika tinjauan selain adanya bilangan bot yang banyak di tasik itu, difahamkan bagi pengangkutan untuk aktiviti tangkapan ikan oleh pengunjung luar ke situ.
Aktiviti menangkap ikan yang berleluasa membabitkan pengunjung luar ke tasik berkenaan menyebabkan hasil hutan dan sumber tasik yang menjadi punca pendapatan penduduk Orang Asli setempat semakin berkurangan.
Di sekitar Tasek Bera, ada kira-kira 3,000 penduduk Orang Asli yang mendiami 14 kampung dengan 15 peratus daripada mereka bergantung kepada hasil Tapak RAMSAR untuk kelangsungan hidup seperti mencari hasil hutan dan tangkapan ikan.

Sumber: Berita Harian Online, 16 Februari 2020

Comments

Popular Posts