Iltizam politik angkat isu alam sekitar jadi keutamaan
Alam sekitar dicipta mengikut aturan sempurna dengan nisbah unsur tersendiri. Ketika sumber alam dimanfaatkan dalam kehidupan, ada pihak bersikap sambil lewa terhadap penjagaan ekosistem alam.
Pelbagai kerosakan berlaku seperti penipisan lapisan ozon, kepupusan spesies, penyahutanan dan pencemaran air, malah hutan semakin digondolkan demi mengaut keuntungan lumayan.
Isu pencemaran alam sekitar tidak terhenti setakat mengancam kesejahteraan dan kesihatan, bahkan mempunyai impak ekonomi dan sosial meleret ke kancah politik dan krisis kemanusiaan.
Oleh itu, sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia disambut setiap 5 Jun untuk menggalakkan kesedaran global. Kelestarian alam menjadi isu utama dunia, khususnya pemanasan global dan perubahan iklim kian membimbangkan.
Atas keprihatinan terhadap isu alam sekitar, Malaysia berhasrat menjadi negara maju melalui pembangunan rendah karbon, berdaya tahan dan inklusif serta penggunaan sumber cekap.
Justeru, pembangunan sosioekonomi akan beralih daripada trajektori pembangunan konvensional grow first, clean-up later berkos tinggi kepada pertumbuhan hijau yang memastikan pembangunan sosioekonomi secara lestari. Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang menyarankan pertumbuhan hijau menjadi anjakan penting dalam mencorak pembangunan sosioekonomi negara serta melindungi hasil pembangunan dan biodiversiti.
Perancangan strategi pembangunan sosioekonomi dapat meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana alam. Pemulihan biodiversiti pula berperanan sebagai penampan semula jadi terhadap impak kedua-dua perkara terbabit.
Pengurusan alam sekitar di negara ini memerlukan anjakan paradigma, bukan terbatas perlindungan seperti abad lalu, sebaliknya menyentuh hampir semua aspek kehidupan - kesejahteraan, kesihatan, ekonomi, perdagangan dan masa depan.
Skopnya juga diperluas mencakupi semua sumber dimiliki bagi memelihara generasi kini dan masa hadapan. Objektif alam sekitar tidak boleh dilihat asing dari aspek kehidupan, sebaliknya dibina dan diterapkan ke bidang seperti ekonomi, politik dan sosial.
Fungsi perancangan dan pengurusan pembangunan negara perlu ditakrif dengan berkesan bagi memastikan amalan perancangan, penggubalan dasar dan pengurusan pembangunan lebih berkesan. Ini selari Agenda 21 Persidangan Rio 1992 bermatlamat menghenti dan mengendurkan proses kerosakan alam sekitar ke arah menggalakkan pembangunan selamat dan lestari.
Bagi mencapai hasrat ini, penyertaan aktif segenap lapisan masyarakat sangat dituntut. Pendidikan awam, pemantauan, perancangan dan penguatkuasaan ialah kunci utama memastikan alam sekitar terus dipulih serta dipelihara. Justeru, pendidikan dan kesedaran umum perlu ditingkatkan. Masyarakat sebagai aktor utama pelestarian alam sekitar perlu berperanan aktif kerana pengurusan alam sekitar lestari tidak mungkin berjaya tanpa kerjasama umum.
Menurut Zaini Ujang dalam Minda Lestari: Pembangunan Negara dan Pemuliharaan Alam Sekitar, bagi melahirkan masyarakat terdidik dengan amalan kehidupan mesra alam, tumpuan harus diberikan kepada lima aspek utama, iaitu memupuk cara pemikiran masyarakat supaya menghargai alam sekitar.
Begitu juga melaksanakan kempen dan promosi secara intensif menerusi pelbagai kaedah serta media, selain memastikan setiap individu menghayati amalan dan cara hidup mesra alam.
Juga, penghayatan konsep kelestarian dalam konteks keluarga, organisasi dan masyarakat serta mewujudkan masyarakat mesra alam dengan menjadikan bidang alam sekitar amat penting dalam dasar utama kerajaan. Oleh itu, isu pencemaran dan kemusnahan alam sekitar bukan semata-mata laungan environmentalis, kementerian terbabit dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu.
Namun, ia perlu merangkumi semua lapisan masyarakat kerana semakin ramai menyedari kepentingan isu alam sekitar, lebih utuh nasib alam sekitar.
Ia akan membawa hasil positif kerana semakin banyak pihak kepentingan memperjuangkan isu ini, semakin besar peluang alam sekitar dipulihara dan dilestarikan. Sikap tidak cakna mesti dipulih kerana kedapatan sumber asli pada masa depan bergantung kebijaksanaan kita mengurusnya kini.
Jika kita menganalisis pihak manakah lebih layak dan berupaya menguruskan pencemaran alam sekitar, ia akan menjadi perdebatan tidak pernah selesai. Malah, ia hanya membawa adegan tuding-menuding.
Apa yang kita perlu adalah iltizam politik semua pihak mengangkat isu alam sekitar ke tahap lebih diutamakan. Kerjasama ampuh dan kesiapsiagaan pihak berkuasa menghukum pencemar alam serta inisiatif memelihara dan memulihara sumber alam juga dituntut.
Pensyarah Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/06/825069/iltizam-politik-angkat-isu-alam-sekitar-jadi-keutamaan?fbclid=IwAR01nYIyeviQS0p4fJ36VkDZmJ0Yd8K8C0412BTPciBOEY4IbgJewsE7gcY#.YL2j6C9609I.facebook
Comments
Post a Comment