Tukun Tiruan di Malaysia
- Struktur binaan manusia yang diletakkan di dasar laut
- Bertujuan untuk menambah kepadatan sumber marin
OBJEKTIF UTAMA PEMBINAAN TUKUN TIRUAN
Meningkatkan produktiviti biologi dan sumber perikanan di kawasan persisiran pantai dengan cara:
- Mewujudkan suatu ekosistem yang berfungsi sebagai satu santuari
- Menyediakan kawasan pembiakan dan nurseri untuk ikan dan lain-lain hidupan marin
- Memulih dan melindungi habitat marin yang musnah akibat aktiviti perikanan dan bencana alam
TUJUAN DAN MANFAAT LAIN PEMBINAAN TUKUN TIRUAN
- Mewujudkan benteng penahanan ombak/arus bagi mengawal hakisan pantai
- Menghalang dan mengawal aktiviti tangkapan pukat tunda di persisiran pantai
- Mewujukan kawasan agro-pelancongan untuk aktiviti perikanan rekreasi dan selaman skuba
- Menjalankan kajian dan penyelidkan saintifik
SEJARAH PEMBANGUNAN DAN PEMBINAAN TUKUN
- Bagi Malaysia tukun tiruan diperkenalkan oleh Tentera Udara DiRaja Australia yang berpangkalan di Butterworth pada tahun 1970-an. Mereka membina tukun tiruan menggunakan tayar terpakai dan dilabuhkan di Pulau Songsong untuk tujuan rekreasi.
- Malaysia negara pertama di rantau Asia Tenggara yang membina tukun tiruan iaitu pada tahun 1975. Tapak tukun tiruan yang pertama dibina adalah di Pulau Telur, Kedah iaitu pada 6 Mei, 175 dengan menggunakan 6,329 biji tayar. Kemudian pada 11 Oktober, 1975, satu tapak lagi diwujudkan berdekatan dengan Pulau Payar dengan menggunakan 5,229 biji tayar.
- Program penyelidikan dan pembangunan tukun tiruan di Malaysia bermula pada tahun 1975 dengan menggunakan tayar-tayar terpakai. Selepas itu pelbagai rekabentuk tukun tiruan telah dicipta hasil buah fikiran para penyelidik dan kakitangan Jabatan Perikanan. Selain daripada tayar, tukun tiruan juga dibina daripada PVC, seramik, bot dan konkrit yang dilabuhkan dalam kawasan perairan kurang 5 batu nautika.
- Mulai tahun 2006, Jabatan Perikanan telah membina tukun tiruan konkrit iaitu daripada campuran simen, pasir dan batu manakala tetulangnya daripada besi.
- Pembinaan tukun tiruan di Malaysia menggunapakai piawaian yang ditetapkan di dalam garis panduan United Nation Environmental Program (UNEP) iaitu “Guidelines for the Placement of Artificial Reefs”.
KONSEP PEMBINAAN TUKUN TIRUAN
Terdapat 2 konsep pembinaan tukun tiruan oleh Jabatan Perikanan Malaysia iaitu tukun tiruan konservasi dan tukun tiruan rekreasi
- Tukun Tiruan konservasi - bertujuan untuk pemuliharaan, bukan tangkapan.
- Tukun Tiruan Rekreasi - bertujuan untuk tangkapan secara pancingan rekreasi yang terkawal.
Antara aspek dalam merekabina tukun tiruan ialah ia mestilah mempunyai ciri-ciri seperti;
- Terhindar dari rintangan arus yang kuat.
- Tidak mudah terbenam ke dasar disebabkan pergerakan arus.
- Mampu menghalang daripada diseret oleh pukat tunda.
- Menggunakan bahan yang mesra sumber.
- Menyediakan ruang untuk hidupan laut berlindung.
- Sesuai sebagai kawasan pembiakan ikan.
- Sesuai untuk perlindungan anak ikan atau peringkat juvenil ikan.
- Menggunakan bahan yang tahan karat seperti konkrit.
JENIS-JENIS TUKUN TIRUAN
Jenis Tukun Tiruan yang dibina di Malaysia adalah:
Tukun Tetrapod
Tukun ini mula dihasilkan antara tahun 2006 sehingga 2008. Lazimnya tukun jenis ini dilabuhkan di kawasan muara sungai ataupun pelabuhan. Ia juga berfungsi sebagai benteng pemecah ombak dan menghalang hakisan pantai apabila daripada ombak yang deras. Tukun tetrapod juga diletakkan dikawasan yang sering berlaku pencerobohan kawasan tangkapan oleh vesel komersil seperti di perairan Mersing, Johor.
Tukun Udang Karang
Tukun jenis ini dihasilkan pada tahun 2008. Rekaan pada tingkat bawah dan tingkat atas dibina empat petak pada dua sisi yang bertentangan. Petak ini dikhaskan untuk didiami oleh spesis udang karang. Pada tingkat paling atas pula, disediakan ruang sebagai habitat ikan. Penghasilan rekaan tukun ini telah berjaya menarik perhatian beberapa spesis udang karang dewasa antaranya ialah udang karang spesies yang ditemui berada di dalam lubang tukun semasa pemantauan dijalankan di Pulau Tinggi, Johor selepas 10 bulan ia dilabuhkan. Antara lokasi dilabuhkan tukun jenis ini ialah di Pulau Tinggi (Johor), Tg. Kabung, Kg. Layang Layangan (Labuan) dan Kuala Penyu (Sabah).
Tukun Kuboid
Tukun tiga tingkat ini lazimnya dilabuhkan di kawasan dasar laut yang keras seperti kawasan sedimen jenis berbatu dan pasir kasar. Pada bahagian tapak tukun, hanya separuh sahaja ruang yang dikonkrit. Ini adalah bertujuan untuk memastikan tapak tukun itu terbenam ke dasar laut seterusnya menghalang dari diseret oleh arus ombak dan pukat tunda nelayan. Tukun jenis ini mempunyai berat 10 tan metrik dan ia telah dilabuhkan pada tahun 2007 di Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun (Terengganu).
Tukun Kuboid Juvenil
Tukun ini menyediakan habitat dan perlindungan yang lebih luas terutama kepada anak ikan atau ikan peringkat juvenil. Ia mempunyai berat 12 tan metrik dan telahpun dilabuhkan di Sg. Labu (Labuan).
Tukun Kuboid Bioaktif
Tukun jenis ini dihasilkan bagi menggalakkan pertumbuhan batu karang di atas permukaan tukun. Tukun jenis ini telahpun dilabuhkan di kawasan perairan Pulau Bidong (Terengganu).
Tukun Kiub
Tukun jenis ini menyediakan ruang legar yang lebih luas untuk menjadi habitat kepada ikan demersal seperti ikan Kerapu, Jenahak dan Merah. Tukun jenis ini telah dilabuhkan di Ma’ Daerah, Kuala Terengganu, Jambu Bongkok, Marang, Setiu (Terengganu); Mukah (Sarawak); Pulau Rusukan (W.P Labuan); Pulau Tioman (Pahang).
Tukun Kiub Juvenil
Tukun jenis ini dibina untuk dijadikan habitat ikan juvenil di kawasan dasar laut yang keras seperti kawasan berbatu dan pasir kasar.
Tukun Rekreasi
Tukun ini mempunyai berat 6 tan metrik. Ia bertujuan menyediakan kawasan bagi tujuan perikanan rekreasi seperti sport fishing dan sebagainya. Antara lokasi telah dilabuhkan tukun ini adalah di Pekan (Pahang); Pulau Lalang, Pulau Talang (Perak); Sungai Lada, (W.P Labuan); Sipitang, Beaufort, Lahat Datu, Putatan, Tuaran, Kota Belud, Sandakan, Kuala Penyu (Sabah) dan Miri (Sarawak).
Tukun Rekreasi Juvenil
Tukun ini mempunyai berat 7 tan metrik. Antara lokasi telah dilabuhkan tukun ini adalah di Kg. Layang-Layangan (WP Labuan); Kudat, Beaufort, Pitas, Kota Kinabalu, Papar, Sandakan, Tawau dan Kuala Penyu (Sabah).
Tukun Dasar Lembut
Mempunyai berat 14 hingga 23 tan metrik. Tukun ini telah mula dilabuhkan pada tahun 2006 berhampiran Pulau Payar, Kedah dan Kuala Langat, Selangor. Tukun jenis ini sangat sesuai untuk dasar berlumpur.
Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda
Tukun jenis ini dihasilkan pada tahun 2010. Ia mempunyai berat sehingga 32 tan metrik.
Tukun Dasar Lembut Juvenil
Tukun jenis adalah paling berat dihasilkan. Berat tukun ini boleh mencecah sehingga 42 tan metrik. Ia merupakan tukun paling berat dilabuhkan sehingga kini.
Tukun Dasar Lembut Keluli
Tukun ini mempunyai berat 13 tan metrik. Tukun jenis ini telah dilabuhkan di Kuala Jerlun (Kedah).
Tukun Kuboid Penghalang Pukat Tunda
Tukun jenis ini telah dilabuhkan di Rompin (Pahang) pada tahun 2015.
Tukun Paip Penghalang Pukat Tunda
Tukun jenis ini telah dilabuhkan di perairan W.P Labuan pada tahun 2015.
Purata berat tukun-tukun tiruan konkrit ini adalah antara 0.3 - 42 tan metrik. Gred simen yang digunakan adalah antara gred 30 hingga 50. Bagi tukun keluli menggunakan keluli dengan ketebalan 6 – 8 mm.
Sumber:
Comments
Post a Comment