Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok

 




Pelaksanaan kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan dan kualiti hidup selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara kita. Kempen ini juga bertujuan memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat serta menyokong komitmen untuk mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia.

Pelaksanaan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara di bawah RMKe-12 telah dimaklumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-77 pada 8 September 2020. Pelancaran kempen ini telah dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 5 Januari 2021.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli akan mempromosi dan menggalakkan penglibatan serta kerjasama pelbagai pihak meliputi Kerajaan-kerajaan negeri, Kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan persekutuan/negeri yang berkaitan, syarikat swasta dan korporat, badan bukan kerajaan, institusi-institusi pendidikan serta orang awam dalam menjayakan kempen ini.

Objektif Kempen

Kempen ini dilaksanakan bertujuan untuk:

  • mengekalkan kawasan hijau di seluruh negara selain memelihara serta memulihara kawasan berhutan;
  • meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pokok dan kawasan berhutan serta memupuk semangat cintakan alam semula;
  • merakyatkan komitmen dan semangat pengekalan kawasan litupan hijau sebagai satu agenda nasional;
  • memastikan komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok dapat dicapai; dan
  • menggalakkan penyertaan agensi kerajaan persekutuan/negeri, syarikat swasta dan badan korporat, badan bukan kerajaan, institusi-insitusi pendidikan/penyelidikan dan orang awam dalam usaha penanaman pokok.

Sasaran Kempen

Kempen ini mensasarkan penanaman 100 juta pokok dalam tempoh 5 tahun bermula dari tahun 2021 hingga 2025. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan-Jabatan Perhutanan Negeri akan mengadakan program-program bagi merakyatkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dengan melibatkan seluruh penduduk Malaysia dari pelbagai latar belakang.

Tema Kempen

Tema kempen ini adalah “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita” atau “Greening Malaysia: Our Trees, Our Life



Secara ringkasnya, rekabentuk logo ini menggabungkan elemen tiga Pokok Merbau yang merupakan Pokok Kebangsaan yang melambangkan keutuhan integriti hutan negara serta sebagai simbolik perpaduan tiga wilayah di Malaysia iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Elemen dua tangan dalam logo tersebut pula merupakan simbol perpaduan dalam memelihara bumi demi kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat. Manakala, warna hijau dan biru mewakili warna identiti alam semesta yang meliputi elemen air serta litupan pokok dan hutan sebagai penyeimbang kepada ekosistem daripada pemanasan global.







Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.100jutapokok.gov.my/


Comments

Popular Posts